Kit Permainan Edukit oleh AEC
Suhaimi Ramly (kiri) dan Mohd. Iznan Shamsuddin menunjukkan produk yang menampilkan konsep pembelajaran sains yang lebih mudah di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Petua seronok fahami sains
This e-mail address is being protected from spambots. You need JavaScript enabled to view it.
Gambar ABD. RAHMAN SALEH
Kata sesetengah orang, subjek Sains susah untuk difahami dan ‘menakutkan’. Ada juga yang berkata, subjek tersebut cukup membosankan serta merumitkan terutama bagi kanak-kanak dan pelajar sekolah.
Namun, hakikatnya, walau susah bagaimanapun, sains amat penting dalam kehidupan manusia.
Menerusi sains, pelbagai kaedah dan teori ditemui dalam menyelesaikan banyak permasalahan yang berkaitan dengan kehidupan harian kita.
Justeru, menyedari hakikat bahawa subjek Sains penting untuk dikuasai seawal usia kanak-kanak, Ardent Educational Consultants(ArdentEdu) punyai ‘petua’ sendiri dalam menjadikan ia mudah dipelajari, difahami dan menyeronokkan.
Mengorak langkah menghasilkan produk kit permainan berasaskan sains di bawah jenama Ardent Edukit, melaluinya, para pelajar dapat melakukan aktiviti eksperimen sains sendiri di rumah menggunakan peralatan-peralatan yang disediakan.
Antara produk tersebut adalah Crime Scene Investigation (CSI) Forensic Investigation Kit.
Kit berkenaan membolehkan sesiapa sahaja yang memilikinya berimaginasi menjadi seperti pakar forensik.
Lengkap dengan alat pengesan cap jari, ia boleh dikatakan menyerupai apa yang digunakan oleh pihak polis dalam mengesan penjenayah.
Biarpun sekadar permainan, ia merupakan contoh pembangunan produk yang dijalankan ArdentEdu bagi menarik minat semua termasuk kanak-kanak meminati sains.
Menjalankan pelan pembangunan selama setahun, CSI Forensic Investigation Kit yang berharga RM47.90 kini mendapat sambutan menggalakkan daripada beberapa buah sekolah yang mahu menjadikan pelajar seronok mempelajari matapelajaran Sains.
Begitu juga dengan produk Gooey Slime Edukit yang berasaskan eksperimen aplikasi teori penggabungan polimer yang bersesuaian untuk pendedahan awal kepada Sains Kimia.
Menurut ‘orang kuat’ yang membangunkan ArdentEdu, Suhaimi Ramly, apa yang dijalankan oleh ArdentEdu adalah untuk memperkayakan atau sebagai tambah nilai kepada pengetahuan tentang sains.
Sementelah, katanya, ada universiti tempatan, sebagai contoh, kini menawarkan bidang Sains Forensik seperti Universiti Teknologi Malaysia (UTM) dan CSI Forensic Investigation Kit mampu menjadi ‘alat’ menggalakkan minat pelajar menceburi pengajian berkenaan.
Ujarnya, selain CSI Forensic Investigation Kit dan Gooey S lime Edukit,ArdentEdu bakal menghasilkan beberapa produk baru yang berkaitan dengan bidang sains.
Produk berkenaan, jelasnya, seperti Water Rocket, Robot Kit, DNA Analysis, CSI Forensic Investigation Kit 2 dan produk yang berkaitan tentang sains pemakanan serta elektronik.
”Kami merancang untuk memasarkan produk ini ke luar negara terutamanya Timur Tengah. Sekarang ini, kedua-dua produk berkenaan ada dijual di Petrosains,” katanya.
Sumber:
Online version: http://utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt=1108&pub=Utusan_Malaysia&sec=Sains_%26_Teknologi&pg=st_05.htm
Print version: Utusan Malaysia (sisipan Mega), 8 November 2011, p. 30.